Friday, August 8, 2008

Aku Mahu Saiz S?

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

Saya percaya ramai di luar sana yang seperti saya, menginginkan tubuh badan yang cantik dan menawan. Saban bulan berazam untuk menurunkan berat badan, tetapi selalunya, azam hanya tinggal azam. Treadmill yang dibeli mahal-mahal akhirnya jadi penyidai pakaian. Atau VCD aerobik [harapnya bukan cetak rompak] sampai berhabuk dalam gerobok. Investment pada produk-produk pelangsingan sudah beribu tetapi lemak-lemak yang kononnya ingin dibuang di perut, di paha, di punggung, di seluruh anggota badan, masih ada di situ, malah bertambah-tambah kilo lagi ada.

Ada banyak sebab kenapa kita sentiasa saja gagal dalam hal menurunkan berat badan. Antaranya, mungkin kita tak tahu the science of losing weight. Atau kita berdiet tanpa perancangan yang teratur. Tapi yang pastinya, kebanyakan orang gagal kerana tiada perseverence, tak cukup willpower untuk bertahan. Kita tidak terdaya melawan godaan-godaan di sekeliling kita. Sukarnya melawan godaan, kerana ia pasti ada, tak kira masa, dan datang dari segenap arah.

Namun saya percaya, godaan dapat ditempuh jika kita mempunyai sokongan yang kukuh dan padu dari orang-orang di sekeliling kita. Lebih-lebih lagi sokongan dari orang-orang yang kita sayangi, seperti suami, isteri, anak-anak, keluarga terdekat dan mungkin kawan rapat. Malah teknologi memungkinkan kita bertemu dengan mereka yang mempunyai tujuan atau objektif yang sama, bertukar-tukar tips dan memberi sokongan kepada satu sama lain.

Saya ingin sekali bertemu dengan anda-anda yang ingin menurunkan berat badan seperti saya, mendapat sokongan daripada anda dan memberi sokongan kepada anda. Oleh itu, Aku Mahu Saiz S harapnya, menjadi wadah untuk kita semua yang ingin menyarung pakaian Saiz S, atau saiz yang lebih kecil dari sekarang :-)